08 June 2008

Hukuman pencuri basikal kekal

Dari Utusan Malaysia 6/6/08


SHAH ALAM 5 Jun - Harapan seorang pencuri basikal untuk mendapatkan hukuman yang lebih ringan tidak kesampaian apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuannya dengan mengekalkan hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan itu.

Malah, Hakim Datuk Zaharah Ibrahim berkata, beliau juga akan menambah hukuman penjara tersebut terhadap Ahmad Tarmiji Semawi, 35, sekiranya ada rayuan silang oleh pihak pendakwaan.

Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Zaharah menegaskan bahawa perayu yang mempunyai rekod kesalahan pecah rumah dan memiliki barang curi seolah-olah tidak serik apabila mengulangi perbuatan seumpama itu dalam tempoh tidak sampai setahun.

"Kesalahan itu dilakukan di depan orang ramai. Saya ambil kira bahawa perayu faham akan hukuman serta undang-undang dan hukuman penjara enam bulan dikira lebih rendah daripada hukuman yang pernah dilalui sebelum ini.

"Kalau ada rayuan silang, saya akan naikkan hukuman itu. Tetapi tidak ada. Jadi rayuan ditolak dan hukuman dikekalkan,'' tegasnya.

Ahmad Tarmiji yang berkemeja merah dan berseluar jeans biru hanya tunduk lesu sebaik mendengar keputusan itu.

Dia dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar dekat sini pada 7 Disember 2006 selepas mengaku bersalah mencuri sebuah basikal jenis Hard Rock bernilai RM300 milik Izhar Mokhtar, 28.

Perbuatan itu dilakukan di hadapan kedai runcit Parit Enam Timur, Sabak Bernam dekat sini pada pukul 11 malam, 22 Julai 2006.

Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, peguam Samry Masri yang mewakili Ahmad Tarmiji berhujah bahawa perayu sepatutnya dikenakan denda atau dibebaskan dengan perintah berkelakuan baik kerana kesalahannya hanya mencuri sebuah basikal.

Sehubungan itu, beliau memohon agar pengakuan salah anak guamnya diambil kira selain memberi peluang untuk dia memulakan hidup baru dengan hukuman yang lebih ringan.

Timbalan Pendakwa Raya, Samihah Rhazali bagaimanapun berhujah, perayu juga mempunyai tiga rekod sabitan lampau melibatkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 selain kesalahan pecah rumah dan memiliki barang curi.

Katanya, hukuman yang diberikan adalah setimpal serta tiada cacat selain perayu tidak layak dibebaskan dengan bon berkelakuan baik.

No comments: